Search Box

On Line Discount Store

POSTINGS

Search This Blog

Tuesday, September 2, 2008

Puisi - Sempena Awal Ramadhan

Mendidik Haiwan:

Insan menyaggupi amanah mentadbir bumi
Sebagai makhlukNya paling ali dan ilmi.

Dengan ta’dib, insan berusaha mengenal segala
Mengingat semula semua nama yang diajari-Nya di Sana
Mengota janji termeteri melalui Bala shahidna!

Biarpun zahirnya zuriat Adam banyak persamaan
Dengan segala hewan dari chimpazi kepada lalat buahan
Namun ruh insan dan amanah tanggungan setiap ahlinya
Bagai langit dan bumi, bagai lilin dan mentari bezanya.

Genom insani dikatakan 60% sama dengan lalat drosophilia
40% baka kita tidak berbeza dari baka cacinbg dan sepertinya
Malah 99% sama dengan chimpanzi berkaki dua:
Bagi sekian Darwinis semua – itu lah hakikat kejadian kita:-
Haiwan terpintar dan tertinggi tingkat evolusinya.

Tentang perjanjian arwah dengan al-Khaliq tiada sesuai lagi
Ruh insan, bagi mereka, hasil perkembangan badan, baru terjadi
Wujudnya hanya di alam ini, akan terputus bila mati.

Pendidikan umat di seluruh dunia telah hilang punca asalnuya
Bagai laying-layang terputus tali di bawa angin kemana saja
Angin yang kencang di tiup jentera tuntutan haiwani
Tujuan, kandungan dan kaedah pendidikan bukan lagi insani.

Ta’dib menyemai ilmu pelbagai, menyempurna ahlak baik
Ruh insan mendaki mendaki makam menyuci mengenal al-Khaliq
Ilmu pelbagai perkara tentang dunia dan akhirat nan baqa
Di guna mentadbir bumi memikul amanah penuh taqwa.

Tarbiyyah melihat insan dengan sebelah mata
Walaupun pandangan tajam amat, yang tampak zahirnya saja
Kepandaian berharta dan mengurusnya disanjung tinggi
Ilmu mengenal Tuhan dan sunnah Nabi dibasa-basi
Bagai hidangan di papan iklan, lapar tiada terisi.

Banyak dibelanjakan bagi membina sekolah dan universiti
Yang kaya dan berpengruh menghantar ke luar negeri
Pintu universiti luas terbuka jika yuran terbayari
Atau jika pantas berlari menjulang nama pertiwi
Apatah lagi jika mengenal menteri bersamaan parti.

Dari sekolah hingga ke ijazah doctor falsafah pelbagai bidang
Manusia di ajar menulis, mengira dan pandai kemahiran
Pelajar di wajib menuntut ilmu keusahawanan
Agar bisa berniaga, sehingga semua diperniagakan:
Wanita berpipi licin menjaga tubuh pada sejenis atau lelaki
Ulama menjual fatwa pada penguasa yang membayar tinggi.

Pentadbir mencemuh guru sendiri jika kerusi disasari
Sarjana menabur bakti jika ganjaran memuas hati
Isteri menjadi setia selagi suami bergaji tinggi
Suami rela dihina jika isteri cantik, kaya, disegani
Si anjing kurap disanjung ilmuan tinggi jika kedudukan dikekali
Abu Jahal diimami walau Muhammad berada di sisi.

Madrasah di tengah kota di anggap merugikan
Pelajar dan ilmuan miskin hanya meluka pandangan
Hotel lima bintang dianggap lebih memanfaatkan
Ribuan pelancong mampu membawa jutaan pulangan.

Setiap haiwan terlalu pandai sukar diatasi
Ingatan mereka kukuh berakar dalam naluri:
Gajah bisa mengingati telaga puluhan tahun tidak disinggahi
Penyu beribu batu meninggal pantai pasti bisa kembali.

Salmona lama ke hilir mengecap nikmat di laut luas
Di perjalanan pulang, ribuan dibaham beruang lapar dan buas
Salmona pintar mendaki sungai menabur benuh, menunai amanah
Bangsanya menang walau nyawa sendiri terpaksa diserah.

Si tempoa cekap sekali menganyam sarang di dahan tinggi
Datang ribut taufan istana rekaanya bertahan, d kagumi.

Rimau bintang menyambar kijang, mematah tengkok
Sesaat bisa berjaya mengankat mangsa ke atas pokok
Walau sang singa lebih perkasa dan raja di rimba
Tapi tidak secekap si bintang mengankat mangsa:-
Dia tidak bisa merampas rezeki si bintang tangkas
Hanya menunggu di bawah menjilay bekas.

Al=Khaliq mencipta insan dari lumpur hitam
Supaya bisa bergerak seperti haiwan sekalian
Tapi di tiupkan permata halus sebahagian dari ruh-Nya-
Terpisahlah dari cacing, lalat buah dan segalanya
Maka terangkatlah martabat bila di ajar segala nama
Hinga Malaikat lebih bercahaya gagal menjangkau makna.

Kita bukan dari chimpazi atau orang hutan
Persamaan begitu banyak harus diperi ngatkan
Tapi perbezaan janin kecil membawa pemisahan mutlak:-
Chimpazi dan Orang Hutan tidak dihsiab di akhirat kelak
Kita tidak bisa lari dari Sirat, Mahshar dan Jahannam
Mungkin bertemu syurga dan bahagia tanpa kesudahan.

II.

Pendidikan bukan untuk melahirkan pengurus wang
Atau memastikan cengkaman kuasa berlangsung panjang.
Bukan peluang membina sekolah kos menjulang
Atau lubang membina menjual peralatan, buku teks anika bidang:
Itik hanya memerlukan kolam berair dan makanan biasa
Bukan air tapisan khas yang diimpot harga berjuta
Bukan dedak padi yang ditanam di atas bumbung
Atau yang dipesan dari Taiwan atau Hong Kong

Pendidikan milik insane beriktiar mendekati tuhan
Dari saat kelahiran hingga ke titik akhir kehidupan
Bayi yang baru menghendap keluar rahim ibunya
Diperingatkan dengan Azan dan Iqamah dikedua telingga
‘Apakah si bayi kecil dua jengkal bisa mengerti?” kau Tanya
“Seruan dalam bahasa asing, sedang mata belum pun terbuka?”
Dia mengerti, kerana baru saja meninggal Zaman Alastu
Dia mengerti, kerana dengan dunia ini, masih belum terkeliru.
Insan di hujung hayat wajar ditalqinkan denganBacaan Suci
Dan diperingatkan dengan dua kalimah ajaran Nabi.

Kau sangsi lagi,”apa gunanya ini pada diri menanti mati?
Bukannya bisa merubah sebarang keadaan di dunia ini.”

Pandanganmu hanya pada zahirnya keadaan
Kau ghaflah tentang hakikat bermakna menyerap kewujudan
Bagai oxygen tidak ternampak, tidak terasa, tiada berwarna
Wujudnya bisa dinafikan dalam perkataan sahaja:
Tanpanya dalam persikataran
Alam ini pasti menyaksikan kematian.

Insan yang hampir meninggalkan kefanaan ini
Bila ruhnya meronta mahu kembali ke tempat asli
Mata-hatinya, jika tersilau keliru selama ini
Kerana tersangat takjub dengan seri duniawi
Kini kembali terang menatapi hakikat ruhi nan ghaibi
Segala peringatan akan bertambah terang
Semua perbuatan dan niat fikiran akan tertayang.

Pendidikan bukan pengisi kebosanan kehidupan
Mempersibukan diri dari mengingati hakikat kepulangan.

Pendidikan daya usaha pelajar, ibu bapa, penguasa, guru:-
Mengotakan segala kata dan ikatan dalam perjanjian dulu
Mempersiapkan semua memikul amanah rela dipersetuju
Menjadi khalifah di Bumi, mentadbir Alam dan laut biru
Tulus ibadat bersukur tak terhingga
Kerana kewujudan dan keutamaan bangsa manusia.

Matematik, geografi, astronomi, bioteknologi, semua ilmu tabii
Setiap kumpulan insan dan bahasanya dan sejarah kaum insani
Ilmu yang telah lalu, dan yang sedang giat di kaji
Perlu di kuasai jika Perjanjian itu mahu di kotai

Umat ini bisa menjulang obor menyuluh kemajuan
Jika pemimpin, ulama, pentadbir dan peniaga tidak kesesatan
Tegas mengemudikan bahtera bangsa dengan kuasa pentadbiran.
Jika tujuan dan kandungan pendidikan dirubah sentiasa
Mengikut naluri sementara, mengekal kuasa sedekad dua
Dan meningkat laba:
Ajarlah insan menjadi haiwan - cepat-pintar bekerja.
Namun, Perjanjian Dahulu tidak akan terbatal jua.

Ingat! Cacing, chimpazi dan segala haiwan tidak dibangkitkan.
Kita harus memberi jawapan : tiada lagi helah, alasan.


Petikan dari “Dalam Terang”
Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud

Anak helang - Puisi Sempena MERDEKA

Anak Helang

Seekor anak Helang
Meminta izin bapaknya mahu terbang
Ke lain padang
Melatih sayap mengembang
Mencari pengalaman
Menajam pandangan.

Tapi pada bapaknya menyata bimbang
Akan cabaran sengit bakal mendatang
Tentang kemungkinan hilang
Jalan pulang
Mengkhianati bangsa, menjadi petualang.

Bapaknya helang memberi pesan seorang guru:
“Silalah anakku sifatmu helang harus mendalami ilmu
Tapi ingatlah segala ajaranku kepadamu selalu
Kerangka dan dasar pengetahuan dalam dadamu itu
Sungguhlah benar, jangan kau curiga dan ragu
Perhalusi lagi, dan bandingkan dengan yang lain itu”.

“Harus sentiasa sedar harga diri dan peranan sejati
Tiada guna jika gagak berjuta, musuh bangsa, memuji tinggi
Walau bangsamu jumlahnya kecil, peranannya tersangat suci
Itu amanah kita dari azali, pilihan maknawi.”

Anak helang terbang jauh melihat alam pelbagai ragam
Singgah di suatu padang melihat gagak galak berkawan
Ramainya bukan kepalang, hitamnya menawan
Langit nan terang di waktu siang dipergelapkan
Bisingnya menguasai padang dan segala hutan
Sampah dan bangkai mencerminkan kelazatan.

Si anak helang menumpang gagak mengisi dada
Raja gagak melihat kemungkinan besar tiada tara
Jika berjaya menggagakkan helang mencari kuasa
Menumpas helang sebagai burung perkasa di muka dunia.

Selagi helang mengenal dirinya selagi itulah gagak semua
Gagal merebut takhta kerajaan burung segala.
“Jika si anak helang itu dapat digagakkan kita
Dia akan dipulangkan pada bangsanya
Dan berperanglah untuk kita.
Jika helang tidak lagi terbang tinggi di puncak sana
Jika matanya ditumpulkan seperti kita
Jika makanannya dibiasakan sampah, bangkai dan sisa
Dia akan menafikan bapak sendiri, tidak mengenali bangsa
Akan meruntuhkan sarang bangsanya; tak terdaya kita.”

Memang setelah bertahun berguru pada gagak semua
Bulunya dihitam-kilatkan menyilau mata, untuk diterima
Lagunya semeriah, sebising, senyaring burung pensisa.
“Menangkap rezeki penuh risiko di dada angkasa,
Merugi masa, dan tenaga”, katanya.
“Lebih mudah mencuri sisa di tong sampah saja”.
Sekian lama berguru, ia dinobat wira nan perkasa
Diutus pulang ke padang asalnya memikul cita
Merubah helang mengikut millah gagak belaka.

Pulanglah helang bertemu ayahnya guru awali
Ayahnya melihat terbangnya tidak menghelang lagi
Suaranya bukan lagi menyanyi lagu asli
Tapi lagu baru yang tidak pernah didengari
Sepanjang sejarah helang tidak didendangi.

Sepanjang zaman bangsaku melihat tajam perubahan
Insan kehilangan diri setelah lama berjauhan
Kejauhan zahir terlihat pada jarak zaman dan ruang
Kejauhan batin terbukti pada akhlak ang pincang
Terpapar dalam Kisah si Tenggang dan Malim Kundang
Dalam perubahan jiwa jutaan cendekiawan malang.

Anak helang kehilangan diri, disanjung gagak di luar negeri:
Pulang ke sarang asli berbulu hitam, suara nyaring ngeri
Menghalau keluarga sendiri, menganggap jahil guru awali
Ajaran Nabi dan pewaris tradisi disifat tiada sesuai lagi
Bagi meniti arus pluralisme dan cabaran globalisasi.


- Petikan dari “Dalam Terang”
Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud

Search Box